Sabtu, 11 Februari 2012

Amal Untuk Meraih Cinta !!


Ku cinta Dia. Kita mencintai Allah SWT. Adakah sekadar kata-kata cukup sebagai bukti? 
" Tidak, cinta kepada-Nya tidak terbukti hanya melalui kata-kata. "
Hasan Al-Basri rahimahullah berkata:
Para sahabat Nabi SAW berkata: " Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kami amat mencintai Allah SWT. " Kemudian Allah SWT mahu menjadikan tanda yang menunjukkan kecintaan kepada-Nya. Dengan itu Allah SWT menurunkan ayat berikut:
قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mencintai Allah SWT maka ikutilah aku. Nescaya Allah SWT mencintai kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Ali 'Imran: 31)
Dari Abu Hurairah RA katanya :
Rasulullah s.a.w. bersabda :
Sesungguhnya Allah SWT berfirman: " Barangsiapa memusuhi kekasih-Ku, maka Aku memberitahu kepadanya bahawa dia akan Aku perangi. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang amat Aku cintai lebih daripada apabila dia melakukan apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Dan tidaklah seseorang hamba-Ku itu mendekatkan diri kepada-Ku dan melakukan perkara sunnah sehingga akhirnya Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya, Akulah telinganya yang dia gunakan untuk mendengar, Akulah matanya yang dia gunakan untuk melihat, Akulah tangannya yang dia gunakan untuk mengambil dan Akulah kakinya  yang dia gunakan untuk berjalan. Andaikata dia meminta sesuatu kepada-Ku pastilah Aku beri, dan andaikata dia memohon perlindungan kepada-Ku pastilah Aku lindungi. "
(Riwayat Bukhari)
Saidina Umar al-Khattab r.a. pernah berkata :
" Amalan yang paling afdhal ialah melaksanakan amalan yang difardhukan oleh Allah SWT, menjauhi perkara yang diharamkan-Nya dan benarnya niat untuk mendapatkan apa yang ada di sisi Allah SWT semata-mata. "
Al-Quran
Di antara perkara sunat utama yang dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT ialah membaca Al-Quran dan mendengarnya dengan penuh tafakkur, tadabbur serta memahaminya.
Firman Allah SWT :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاءَتْكُمْ مَوْعِظَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَشِفَاءٌ لِمَا فِي الصُّدُورِ وَهُدًى وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ
Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhankamu, dan penawar bagi penyakit dalam dada kamu, dan hidayah petunjuk (untuk keselamatan), serta rahmat bagi orang-orang yang beriman.
( Surah Yunus: 57)
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
" Bacalah Al-Quran kerana ia akan memberi syafaat(pertolongan)kepada sesiapa yang membacanya pada hari akhirat kelak. "
Bukti DicintaiNya
Apabila seorang hamba dicintai oleh Allah SWT, maka ada buktinya dan ada tandanya.
Telinganya, hanya mendengar sesuatu yang berupa ketaatan kepada Allah SWT, tidak atas dorongan hawa nafsu dan syaitan.
Pandangan matanya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah SWT,  jauh daripada dorongan kebinasaan hawa nafsu dan syaitan.
Tangan kaki dan pergerakannya, sentiasa dalam ketaatan kepada Allah SWT, bukan kemaksiatan kepadaNya.
"Kita muhasabah diri. Adakah terdapat pada diriku bukti-bukti itu? Adakah aku dicintaiNya?"
Asy-Syaukaani berpendapat :
" Allah SWT memberi kepada anggota-anggota tersebut nur-Nya (cahaya) yang menyuluh jalan hidayah dan menghindarkannya daripada kesesatan. "
Siapa Bertakhta Di Hati ?
Firman Allah SWT :
قُلْ إِنْ كَانَ أبَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ وَاللَّهُ لا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ
Katakanlah: " Jika bapa-bapa, anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah SWT dan Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya,maka tunggulah sehingga Allah SWT mendatangkan keputusan-Nya ". Dan Allah SWT tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq. "
(At-Taubah: 24)
Kecintaan kepada Allah SWT pasti membuahkan cinta kepada teman hidup dan keluarga. Cinta insani itu adalah buah daripada cinta kepada Allah SWT. Kecintaan kepada teman hidup dan keluarga perlu didasari dengan cinta kepada Allah SWT.
Kebahagiaan bergantung kepada sesuatu yang menjadi neraca nilai. Andai syara' diambil sebagai neraca nilai, kebahagiaan anugerah Allah SWT pasti bersama. Kebaikan adalah apa yang syara' tetapkan sebagai baik. Keburukan adalah apa yang syara' tetapkan sebagai buruk. Kehidupan dan interaksi indah dihiasi dengan nilai Islam.
Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta. Allah Al-Khaliq. Harta adalah ujian. Andai dimanfaatkan ke jalan Islam, Insyaallah ianya adalah amal yang akan menghadirkan cinta Allah SWT. Jika yang sebaliknya berlaku, pasti mengundang kemurkaan dan azab-Nya.

Futuwwah Cinta


Inilah dia cinta
Pak Rahmat mengatakan, cinta itu dakwah, dan dakwah itu cinta.
Dan dakwah ini mengenal kita pada Dia.
Mentaqarrubkan kita pada Dia.

Masuliyah fardhiyah kita adalah untuk sentiasa mendampingi kitabNya, mengikuti sunnahNya dan beriltizam dengan akhlak QuraniNya.

Dan seluruhnya dibuatkan kerana Dia.
Dan Dia semata.
Dan itulah dia cinta.
Bila segalanya dihadapkan pada Dia.
Dan cinta itu mengalunkan kita pada syahadahNya
Menerokai puncak-puncak kekuasaanNya,
dan mengegarkan kita akan azabNya,
akan kelam kelibut hari kebangkitan.
Mengetarkan hati kita pada Hari AkhiratNya.
Dan itulah dakwah ini mengenalkan kita.
Akan hari akhirat yang pasti, tempat terdorongnya kita untuk bertemu dengan Dia.
Dan bila segalanya dipusatkan pada Dia, adakah pilihan lain selain dari bertawakal kepadaNya?
Menyerahkan semua urusan kepadaNya?
Yakin akan janjiNya memberikan sesuatu yang terbaik buat diri kita, hambaNya.
Dan demikianlah itu cinta.
ianya yakin
redha
dan saliim..
Cinta itu menautkan hati kita pada semua hambaNya.
Dalam cinta yang tidak dimengertikan
walau tak pernah bersua
mengenal
mahupun bersentuh
itulah dia cinta
anugerah atas cinta keranaNya
Dan itulah dia cinta,
tidak meresahkan,
tidak mengelisahkan
tidak merisaukan,
apatah lagi menyebabkan putus asa.
Kerana setiap pilihan kita,
tindakan kita
dan langkah kita,
adalah demi cintaNya.
Yakinlah,
Allah akan sentiasa bersama kita,
melukiskan kanvas yang indah buat kita.
Samada di dunia, mahupun di syurga kelak..
Insya-Allah..
Inilah dia sepotong doa baginda buat kita:
Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan.
Moga aku menyintai mereka yang mendekatkan aku akan cintaNya... ameen...

Pemuda Yang Ikhlas Dengan Cinta ~


Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina, ikhlas dan perlukan sahabat."
Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.
Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."
Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa bulan kemudian...
Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.
Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.
"Catrina?"
Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?

Pohon Cinta


“Allahuakbar, Allahuakbar, Lailahailallah.” Tangannya pantas mencapai telefon bimbit di sebelah, mematikan nada deringan. Lagu Maher Zain itu segera terhenti. Beberapa saat berlalu, matanya masih jua tertutup.
Hati digagahkan, tangan segera meraba di dalam kegelapan, mencari sesuatu. Dia duduk di atas katil itu, sambil memegang buku Bidayatul Hidayah, karya al-Imam Hujjatul Islam al-Ghazali R.A dan membuka muka surat yang dikehendaki.
Subuh yang hening itu dimulakan dengan doa dan puji-pujian bagi yang selayaknya menerima pujian, Allah S.W.T.
Ahlam segera bangkit, bersiwak, dan mempersiapkan diri untuk beribadah. Subuh hanya akan tiba kurang setengah jam sahaja lagi.

Dengan lafaz bismillah, membaca surah an-Nas sebelum memulakan solat, dia hanyut di bawah kelemahannya, menghadap Yang Maha Kuasa.

Pagi itu cerah seperti biasa, awan dan matahari juga seperti biasa. Semua yang hidup itu pasti sedang bertasbih, memuji kebesaran Allah S.W.T. Selepas Isyraq, dia menarik nafas, melangkah menuju ke kelas. Pusat Asasi UIAM, PJ hening ketika itu. Sudah menjadi kebiasaanya, dia bahagia.
Tanpa disedari, ada yang melihat dari jauh. Hanya beberapa langkah dibelakangnya.
“Ahlam.” Tegur yang melihat itu.
Ahlam tidak segera menoleh, walaupun langkahnya terhenti. Dia beristighfar, kerana dia tahu suara itu milik seorang 'brother,' panggilan yang digunakan untuk pelajar lelaki di situ.
“Assalamualaikum, Ahlam.” Tegur suara itu lagi.
Pemilik suara itu berkira-kira, mungkinkah Ahlam akan pergi meninggalkan dia begitu sahaja, atau sudi mendengar bicaranya.
Dia melihat sekeliling, hanya ada beberapa orang rakannya tiga langkah daripada dia. Dia tidak mahu bersendirian dengan Ahlam. Mestilah, haruslah, pertemuan itu berteman.
Ahlam hanya menjawab salam di dalam hati. Dia menutup bahagian bawah mukanya dengan lengan baju kurungnya, lalu tunduk seraya berkata.
“Kenapa ya, perlu berjumpa di waktu begini? Ana ada kelas.”
“Bukankah kelasmu hanya akan bermula satu jam saja lagi? Masih ada waktu."
"Asif.. ana terpaksa menganggu seketika. Ana tidak ada nombor anti untuk bertanya perkara ini.”Faqeh menjawab.
Dia terdiam sesaat. “Sudahkan sister Farah berjumpa anti?” Tanyanya.
“Sudah, dan jawapan sudah diberikan.” Ahlam menjawab tegas.
Hatinya bergolak, perasaan bercampur baur. Dia tahu fitnah tidak akan timbul kerana Faqeh berteman, tapi mana mungkin dia berdiri di situ walaupun sesaat dua kerana hanya dia seorang di pihak muslimah.
Dia segera berlalu. Tidak betah berlama. Faqeh terkejut tapi tidak menghalang.
“Salahku juga.” Fikirnya.
*****
Lalu dia teringat pertemuannya dengan sepupunya, Farah, semalam.
“Allah mengetahui segala sesuatu." Farah memulakan bicara.
“Faqeh, dia menolak. Sudah dua kali kamu cuba taqdim, cukuplah.” Tambah Farah.
“Tapi aku yakin dia jodohku.” Tegas Faqeh.
“Apakah keyakinanmu itu bersandarkan Allah? Bagaimana pula dengan keyakinannya menolak kamu? Adakah itu cuma permainan di mata? Faqeh, dia sudah istikharah. Dia hanya memaklumkan belum tiba masanya saja. InsyaAllah, lepas habis pengajian, cubalah kamu mengkhitbahnya sendiri.” Balas Farah.
“Aku juga sudah istikharah, dan ternyata dia jawapanku.” Kata Faqeh.
Pelajar Asasi Kejuruteraan itu sukar menerima hakikat.
“Istikharah tidak bermakna jika kamu berat hati pada satu jawapan sahaja. Kamu harus bersedia untuk pilihan yang lain. Itu salah kamu di situ.”
Farah memandang sayu sepupunya itu.
“Hanya satu semester saja lagi. Habiskanlah pengajianmu, biarkan dia juga belajar. Kamu itu bukan setakat seorang pelajar, tapi seorang Muslim. Tanggungjawabmu lebih berat, tanamlah dulu sifat taqwa, insya-Allah, perjalananmu akan dipermudahkan.”
Kata Farah menutup bicara. Dia berlalu meninggalkan Faqeh dan temannya di kafeteria.
Faqeh menoleh ke arah temannya, meminta kekuatan walaupun sedikit.
'Mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.' [Q.s. An-Nisa:19 ]
Ujar temannya, memahami maksud pandangan Faqeh.
Faqeh mengusap muka dengan kedua tapak tangannya, mengucapkan terima kasih lalu beransur ke musolla.
Dia hendak bertaubat, kerana walau sekejap cuma, dia sudah lupa tanggungjawab yang lebih utama, iaitu menjadi hamba kepada Pencipta yang Agung.
*****
Farah tiba di dalam bilik, meletakkan beg di atas meja, dan mengingat kembali peristiwa ketika dia menyampaikan hajat Faqeh buat kali kedua kepada Ahlam.
“Petunjuk awak adalah dia bukan?” Tanya Farah.
Ahlam tenang, lalu menganggukkan kepala.
“Tapi kenapa harus menolak?” Tanya Farah lagi.
Ahlam tersenyum, lalu menjawab.
“Belum tiba masanya. Kami masih muda, iman kami masih baru bercambah.”
Suasana senyap seketika.
“Cinta itu sempurna seperti pohon, akarnya tertanam dalam hati, batangnya kukuh dalam kata, buahnya terkandung dalam perbuatan. Persis seperti iman, tetap dalam hati, terucap dalam lisan, dan dibuktikan oleh amal. Pernah saya terbaca ayat itu.” Tambahnya lagi.
“Awak cintakan dia?” Farah menambah persoalan.
“Cintaku kepada Allah lebih penting, dan juga Rasulku, adakah awak hendak saya melupakan itu?”Ahlam menjawab dengan pertanyaan.
“Boleh saja kalau kamu bertunang dahulu sementara belajar, dan bernikah selepas tamat.” Farah mengutarakan pandangan.
“Pertunangan itu bagi saya, adalah untuk mengenali satu sama lain. Baguslah kalau ramai yang memikirkan begitu. Tapi saya sendiri yakin dengan pilihan Allah, biarlah saya mengenali jodoh saya selepas kami dinikahkan.”
Terang Ahlam. Farah senyap.
“Aduhai Farah, ingatkan hatimu, ingatkan nafsumu, bahawa kematian itu dekat sekali. Mungkin ramai berkata, kita berada di sini untuk menuntut ilmu. Tapi bukan itu semata-mata. Seperti yang ku katakan, cinta itu seperti pohon, laksana iman.
Teguhkanlah iman dulu, siramilah dengan ketakwaan, barulah sempurna cintamu itu. Marilah kita letakkan kepercayaan kepada Allah, saya yakin, Dia akan menjaga hati kami berdua.
Insya-Allah, setelah tamat belajar, barulah mendapat keberkatan. Habiskan tanggungjawab kita sebagai pelajar dan seorang anak dahulu.”
Ahlam berkata sambil memegang tangan Farah. Dia senyum, hatinya beristighfar.
Farah membalas senyuman Ahlam, lalu mengangguk tanda faham.
Dia tahu, ramai yang kalah dalam perjuangan atas nama cinta. Ahlam menjaga maruahnya sebagai seorang muslimah dengan rasa malunya, dengan kesabarannya.

Dia tahu, kalau ada jodoh, pasti akan bersatu jua. Lalu dia juga beristighfar di dalam hati, kerana dia tahu dan dia pasti, hatinya selalu sahaja leka namun Allah itu Maha Pengampun. Maka dia memohon keampunan.